Tuesday, November 30, 2004

Palestin Selepas Arafat




*semua gambar tiada kaitan dengan artikel. Gambar adalah berkaitan dengan artikel ini*


Artikel Pilihan : Dari akhbar Utusan Malaysia, 30 November 2004

Palestin selepas Arafat
Oleh DAIM ZAINUDDIN


Yasser Arafat terus menjadi faktor isu Palestin. Ini kerana di atas kertas, kematiannya membolehkan George W. Bush menghidupkan proses damai Palestin. Selama ini Bush mendakwa Arafat menjadi penghalang.

Nasib Palestin banyak bergantung kepada George Bush dan sedikit sebanyak Tony Blair. Kemenangan Bush pada pilihan raya presiden 2 November seharusnya membebaskan Bush daripada cengkaman Ariel Sharon. Selama ini, Bush membenci Arafat kerana memenuhi tuntuan Sharon. Kini Sharon berdolak-dalik lagi, kononnya mahu menunggu kemunculan rakan damai baru di kalangan pimpinan Palestin.

Sepatutnya Bush tidak lagi perlu tunduk pada Sharon dan blok pengundi Yahudi kerana tidak bertanding lagi tahun 2008. Selama ini Bush terang-terang memihak Sharon, serta sanggup membelakangkan prinsip demokrasi yang Amerika Syarikat (AS) paksakan ke atas negara-negara lain. Arafat yang dipilih penggundi Palestin mahu ditumbangkan Bush pada tahun 2002. Bush juga membiarkan Arafat dikurung di Ramallah yang mungkin telah memendekkan usia beliau.

Yang jelas pemergian Arafat menguji gandingan Anglo-Saxon AS-Britain yang menguasai dunia sekian lama. Winston Churchill semasa hayatnya mengidami gandingan ini yang kata beliau, didukungi tamadun Kristian. Walaupun AS negara imigran, kulit putih, berketurunan Anglo-Saxon dan bermazhabkan Protestan (Wasp) adalah kelas pemerintah yang memerintah. Bush menang selesa ke atas John Kerry hasil sokongan mereka. Bush menonjolkan dirinya sebagai a born-again Christian (mendapat semangat baru sebagai seorang Kristian) semasa lebih ramai penduduk AS kembali kepada agama.

Blair akan dikenali sejarah sebagai poodle (orang suruhan) Bush jika beliau tidak bertindak lebih tegas dan mengakui yang gandingan Anglo-Saxon ini bertanggungjawab ke atas isu Palestin sejak dulu lagi.

Selama ini British menjadi Pak Turut, menyokong pendirian AS dan Israel yang berubah-ubah dan mengelirukan. Ia bermula dengan idea land for peace yakni Israel mendapat kedamaian, Palestin dapat wilayah. Pada tahun 1990, terdengar pula `damai untuk damai'. Kita tidak tahu apa maksudnya. Yang kita lihat di televisyen ialah pembunuhan ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa. Kini selepas Arafat muncul pula `demokrasi untuk perdamaian'. Terdapat beberapa perjanjian selain Oslo, seperti Persetujuan Kaherah, 1994, Persetujuan Taba, 1995, Persetujuan Wye, 1998 dan Persetujuan Sharm el Sheikh, 1999. Tetapi tidak semena-mena tentera Israel akan menguasai semua wilayah yang dikatakan telah diserahkan kepada Palestin. Sebelum Arafat tidak ditahan di Ramallah, perjalanan beliau terhad. Contohnya beliau tidak bebas ke lapangan terbang di buminya sendiri.

Sikap berat sebelah AS-Britain memalukan. Cuma Palestin yang perlu menunjukkan kesungguhan, tidak Israel. Cuma Palestin yang perlu lulus ujian, tidak Israel. Tahap ujian yang dikenakan ke atas Palestin pula berubah-ubah ikut sesuka hati AS-Israel dan Britain.





Sandiwara ini membuatkan kita bertanya demokrasi jenis apakah yang dilaungkan oleh Bush dan Blair? Cuma kemenangan yang disukai mereka akan diiktiraf. Dari Nicaragua ke Afghanistan, calon pilihan AS selalunya reformis berpendidikan AS.

Maksud reformis tidak penting. Ia tetap digunakan tanpa bicara dan kupasan termasuk oleh media ternama. Arafat pilihan rakyatnya. Beliau tidak juga diterima Bush. Siapa saja yang menentang Arafat dikenali sebagai reformis.

Kita tunggu dan lihat sama ada reformis di Palestin akan tetap dikenali sebegitu bila mereka memimpin Palestin. Kita keliru. Agaknya jika Mother Theresa sekalipun yang dipilih rakyat Palestin sebagai pemimpin mereka, beliau akan dilibatkan dengan Al-Qaeda. Bush pasti setuju. Dan kerana Bush setuju Blair ikut saja.

Kita minta Bush dan Blair menjelaskan kekeliruan ini. Apakah demokrasi sekadar memilih pemimpin yang dapat diterima oleh AS? Apakah rekod hak asasi manusia tidak perlu? Apakah kedaulatan undang-undang tidak penting? Bush mencalonkan orang yang menasihati beliau supaya menggunakan taktik menyeksa tahanan Guantanamo Bay, sebagai Peguam Negara.

Inilah orang yang mencadangkan supaya penyeksaan dan kesalahan lain digunakan di Abu Gharib. Orang Arab perlu diseksa dan dibunuh sebelum mereka boleh menikmati demokrasi. AS dan Britain tidak peduli berapa ramai rakyat Iraq yang mati.

Demokrasi menurut takrif yang kita tahu menuntut ketelusan, akauntabiliti dan bercakap benar. Bush dan Blair tidak bercakap benar mengenai senjata pemusnah besar-besaran (WMD), namun mereka tidak pula meletak jawatan.

Malah Blair merupakan Perdana Menteri British pertama yang langsung membelakangkan Parlimen dalam sejarah Westminster. Beliau menggunakan Downing Street bagi membolehkan Britain lakukan apa saja yang Bush mahu.

Bagi penggal kedua Bush mahu dikelilingi penyokong setia atau kroni satu trend yang membimbangkan. AS sekali lagi membuktikan mereka menuntut dari orang lain sesuatu yang mereka sendiri tidak laksanakan.

Apakah Blair akan terus patuh pada Bush? Apakah Blair kekal sebagai junior partner AS. Blair dan Britain memikul beban sejarah di Palestin. Blair harus akur bahawa isu Palestin bukan soal keganasan. Ia penjajahan Yahudi ke atas bumi dan rakyat Palestin.

Britain membiarkan rakyat Palestin dijajah ketika bumi mereka dirampas Yahudi. Tony Blair sedia maklum keganasan sebenarnya meletus semasa Palestin berada di bawah mandat British. British menguasai bumi Palestin sejak Empayar Uthmaniah tumbang pada 1917 sehingga 1948.





Pendatang Yahudi sebelum itu mula membeli tanah dan bercucuk tanam. Pelopor Zionis di Eropah pada masa yang sama, mendesak Barat mengiktiraf tuntutan mereka mendirikan sebuah negara Yahudi. Nota dari Setiausaha Luar Britian, James Balfour pada tahun Empayar Uthmaniah tumbang yakni 1917 digembar-gemburkan dalam media Barat sebagai Perisytiharan Balfour. Ia dikatakan mengktiraf sebuah negara Yahudi. Sebelum itu, selama berabad lamanya penganut pelbagai agama hidup aman damai di bumi Palestin yang terkenal sedemikian sejak wilayah itu dikuasai Rom lagi. Palestin menjadi makmur di bawah Empayar Uthmaniah. Sekarang pendapatan per kapita di Israel ialah AS$20,000 setahun berbanding AS$1,000 di Tebing Barat dan AS$625 di Semenanjung Gaza.

Bush dan Blair tahu Arafat diiktiraf dunia di luar Israel dan AS sebagai pejuang kemerdekaan walaupun mereka benci Arafat dan memburuk-burukkan beliau. Umum tahu beliau menjadi mangsa propaganda Israel dibantu penyokong mereka di AS dan Britain.

Enggan

Mereka memomokkan Arafat dengan melabelkan beliau sebagai pengganas yang membelakangkan kepentingan Palestin kerana enggan menandatangani Perjanjian Camp David II pada 2000 dengan Ehud Barak.

AS menyifatkan tawaran Israel ketika itu sebagai murah hati. Kononnya Barak bersedia menyerahkan 90 peratus sehingga 94 peratus dari Tebing Barat dan sebahagian dari Timur Baitulmaqdis. Realitinya cuma pemimpin Palestin yang sangat berani akan menerima tawaran sebegitu, dan mereka tidak akan dapat kekal memimpin. Sharon pula sesuai dengan sikap angkuh beliau, mengemukakan tawaran terhad.

Apakah sebenarnya yang Israel tawarkan? Sekian lama strategi utama Israel ialah menambah penempatan Yahudi di Tebing Barat, dan membuatkan bangsa Palestin rasa terhina dan tewas walaupun dalam suasana tidak berperang.

Contohnya, selepas perjanjian-perjanjian penting dengan Palestin, lebih banyak penempatan Yahudi tumbuh. Kini terdapat hampir 400,000 penduduk Yahudi yang tinggal di rumah-rumah mewah dilengkapi kolam renang. Mereka menggunakan lima kali ganda air yang disalurkan kepada penduduk Palestin. Mereka menggunakan lebuh raya moden untuk ke tempat kerja manakala pergerakan rakyat Palestin begitu terhad. Perjalanan dari Ramallah ke Jericho, jaraknya 25 batu, mengambil masa sehari atau lebih. Terdapat begitu banyak pusat-pusat pemeriksaan.

Separuh daripada penduduk Palestin tinggal di kem-kem pelarian. Separuh penduduk Palestin berumur bawah 20 tahun. Bermakna sepanjang hidup mereka ditindas penjajah.

Di tahun-tahun akhirnya Arafat dikurung di pejabatnya di Ramallah, dikawal oleh tentera Israel. Sehingga hembusan nafas terakhir, Arafat tidak berganjak daripada impiannya - mengembalikan negara Palestin yang merdeka, membawa pulang 2.5 juta pelarian Palestin yang tinggal di negara-negara Arab, juga mengembalikan kedaulatan Palestin ke atas Baitulmaqdis.

Sebelum ini Bush tidak rela menyebut nama Arafat yang disifatkannya sebagai pengganas, manakala Sharon diberi gelaran Tokoh Perdamaian. Bush menyembunyikan sejarah penglibatan keganasan Sharon termasuk dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Chabra dan Shatilla pada 1982.

Bush tahu lawatan Sharon ke Masjid Al-Aqsa dua minggu setelah gagalnya Camp David II mencetuskan kekacauan dan akhirnya Intifada Al-Aqsa. Bush turut mencanangkan langkah Sharon termasuk menamatkan penempatan Yahudi di Gaza. Dunia tahu Gaza begitu sempit, panjangnya 25 batu, lebar 4 batu. Ia diduduki lebih sejuta orang. George Bush relakan Israel tidak mematuhi pelbagai Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk Resolusi 272 yang menuntut Israel berundur dari wilayah-wilayah yang diduduki ekoran Perang 1967, yakni Tebing Barat (yang diduduki Jordan pada 1948), Gaza (yang diduduki Mesir pada 1948) dan Timur Baitulmaqdis.

Kini, tarikh yang tidak lagi kedengaran ialah negara Palestin menjelang 2005 yang dijanjikan Bush sebelum ini. Memandangkan Bush sudah berjanji, pada masa itu Blair pun turut menyuarakannya semata-mata bagi mendapatkan sokongan Islam sebelum penaklukan Iraq.

Bermacam janji ditaburkan. Blair menghidupkan janji pada Palestin selepas kematian Arafat. Bush pula berdiam diri, agaknya menunggu isyarat daripada Sharon. Sepatutnya pelantikan wakil khas Presiden tidak perlu menunggu pilihan raya yang dijadualkan Januari ini.

Pilihan raya ini membawa cabaran berbeza memandangkan pengundi tidak bebas bergerak di bumi sendiri. Apakah sikap pengundi Palestin? Mereka tentunya mahu kedamaian dan kemerdekaan.





Bush pula harus memahami sikap anti-Amerika dan punca utama kegagalan dasar luar beliau. Bush mencampur-adukkan agama dan politik. Ia merupakan resipi melebarkan jurang antara AS dan Islam. Isu keagamaan akan menyemarakkan semangat Al-Qaeda. Mereka akan menarik lebih ramai pengikut. Keganasan akan meningkat tahap lebih bahaya.

Perang menentang keganasan jangan disamakan dengan tuntutan kemerdekaan Palestin. Blair yang pandai berhujah daripada Bush, dan Bush yang lebih berkuasa berbanding Blair, harus membezakan perkara ini jika mereka mahu dilihat sebagai broker perdamaian yang berwibawa dan melihat Palestin aman dan berjaya.


p/s: sorry ya kalau gambarnya gak cocok sama artikel :p nanti kalau rajin, diganti..

*******************************

Siapa penulis artikel diatas?
click sini

0 Comments:

Post a Comment

<< Home