Tuesday, October 12, 2004

Mengenang Peristiwa Ramadhan : Perang Badar (Bah.2)

.........
Semasa kaum Muslimin berangkat ke medan peperangan Badar, seorang pemuda yang berumur 16 tahun, namanya Umairf bin Abi Waqas, takut kalau kalau dia tidak dibenarkan menyertai peperangan kerana disebabkan faktor umurnya yang masih muda. Kerana itulah beliau keluar dengan cara sembunyi-sembunyi agar tidak diketahui oleh sesiapa pun. Abangnya (Saad bin Abi Waqas) yang melihat hal itu bertanya apakah sebab beliau bersembunyi-sembunyi begini? Jawab Umair: "Aku takut kalau Nabi menyuruhku kembali sedangkan aku ingin mati syahid di medan petempuran".

Apabila Nabi mengetahui kejadian itu beliau hampir sahaja menyuruhnya kembali ke Madinah kerana Umair bin Abi Waqas masih belum cukup umurnya untuk berperang. Namun kerana Umair menangis minta diizinkan oleh Nabi untuk ikut berperang, Nabi kasihan melihatnya dan terharu diatas semangat jihad dan kesungguhan Umair, akhirnya Nabi membenarkannya. Maka terkabullah cita-cita Umair dan beliau adalah salah seorang yang gugur di medan peperangan Badar sebagai syahid.

PERBEZAAN JUMLAH DAN PELENGKAPAN PEPERANGAN ANTARA KAUM MUSLIMIN DAN KAUM MUSYRIKIN

Setelah lengkap segala persiapan, Nabi saw beserta kaum Muslimin hanya berjumlah 313 orang. Dan dari jumlah yang sebesar itu, yang bekenderaan kuda hanya 2 orang sahaja, dan yang berkenderaan unta hanya 70 orang, dan yang selebihnya tidak berkenderaan. Mereka bergilir-gilir dengan orang yang menaiki kenderaan. Satu-satu kenderaan adakalanya dinaiki sehingga 2-3 orang secara bergantian. Tidak ada perbezaan antara tentera dan pemimpinnya. Bahkan Rasulullah saw pun bergantian dengan Abu Bakar, Umar dan sahabat-sahabat besar lainnya.

Nabi memberikan panji-panji Islam kepada Musa'ib dan Umair. Dan bendera Muhajirin diserahkan kepada Ali bin Abi Thalib dan bendera kaum Anshar diberikan kepada Saad bin Muaz.

Apabila Abu Sufian mendengar khabar berita keluarnya pasukan Islam, ia memilih jalan pesisiran pantai sehingga ia selamat. Setelah kafilah dagang yang dipimpinnya merasa selamat dari kejaran kaum Muslimin, ia menulis surat kepada kaum Quraisy yang tengah dalam perjalanan ke Badar. Dalam surat itu ia menasihatkan sebaiknya tentera Quraisy balik ke Mekah, kerana kafilah dagang mereka telah selamat. Dan pasukan Quraisy hampir-hampir sahaja berpatah balik ke Mekah jika tidak dihalangi oleh Abu Jahal. Jumlah pasukan Quraisy waktu itu lebih dari 1000 orang. Bergabung didalamnya sejumlah pemuka-pemuka Quraisy dan pahlawan-pahlawan mereka. Sepertimana yang disyaratkan oleh Nabi saw dalam pesanannya kepada kaum Muslimin sebelum peperangan: "Inilah kota Mekah telah mengerahkan kepadamu seluruh inti-inti pasukan".

Kaum Quraisy tetap meneruskan perjalannya sehingga sampai di lembah Badar. Sedangkan kaum Muslimin berhenti di lembah Badar yang lain. Ketika kaum Muslimin berhenti disana Khubab ibnul Munzir berkata kepada Rasulullah saw:

"Ya Rasulullah, adakah tempat yang kami berada ini suatu tempat yang ditunjukkan oleh Allah yang kami tidak dapat melanggarnya sedikit pun ataukah hanya tempat yang engkau pilih mengikut pendapatmu sendiri dan taktikmu? Jawab Nabisaw: "Tempat ini ku pilih menurut fikiranku"
jawab Khubab: "Tempat ini tidak strategik untuk berperang".

Kemudian dia menunjukkan tempat yang lebih strategik. Anjuran Khubab itu disambut oleh Rasulullah dengan gembira sekali dan segera baginda bangkit menuju ketempat yang ditunjukkan oleh Khubab yang mana merupakan tempat yang lebih dekat dari sumber air dari kaum Quraisy.

Ini menunjukkkan sifat Rasullulah yang menerima cadangan dari para sahabatnya dan tidak mementingkan diri baginda tanpa mengira siapa, jika syor itu pada pendapatnya boleh mendatangkan kebaikan, maka syor itu diterima dengan hati terbuka dan gembira.

Akhirnya Rasulullah beserta pasukannya sampai lebih dahulu ke tempat mata air ditengah malam. Kemudian kaum Muslimin membuat kolam-kolam air. Pada malam harinya Allah menurunkan hujan di sekitar daerah itu. Hujan itu menjadikan tempat kaum Musyrikin banjir sehingga mereka sukar untuk bergerak. Sebaliknya pula bagi kaum Muslimin, hujan tersebut merupakan satu rahmat dan dapat memandatkan pasir tempat mereka berpijak, sehingga mereka mudah bergerak maju dan hati mereka bertambah yakin dan kuat. Sehubungan dengan peristiwa ini Allah swt menurunkan ayat:

Yang bermaksud: "Dan Dia (Allah) menurunkan kepada kamu air (hujan) dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan untuk menghilangkan dari kamu bisikan-bisikan syaitan dan untuk memperteguhkan hati kamu dan memperteguh tempat berpijak kaki-kaki kamu dengannya." (Al-Anfal:11)


0 Comments:

Post a Comment

<< Home