Sunday, February 05, 2006

Ahmadinejad

Ahmadinejad: Tenangnya 'berbisa'
Oleh: SITI MARIAM MD ZAIN

ORANGNYA nampak tenang. Gayanya bersahaja. Bercakap dalam nada perlahan tetapi terserlah ketegasan. Di sebalik tenungan mata sayunya itu, pemilik tubuh kecil ini sebenarnya seorang yang luar biasa.





Hakikatnya, seluruh dunia ketika ini sedang memerhatikan Mahmoud Ahmadinejad, 50. Mula memegang jawatan Presiden Iran pada Ogos tahun lalu, beliau adalah tokoh yang berani menentang arus.

Tiada siapa menyangka anak kepada tukang besi ini mampu 'menggegar' dunia.

Keberaniannya jelas. Biarpun kenyataan-kenyataan yang dibuat sering kali mengundang kontroversi.

Sebagai seorang yang berpendirian, Ahmadinejad tidak pernah gentar dengan kutukan terbukanya terhadap negara kuasa besar - Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Dilahirkan di sebuah bandar dekat Garmsar, timur Teheran, Ahmadinejad adalah anak keempat daripada tujuh beradik. Keluarganya berpindah ke selatan Teheran semasa beliau berusia kira-kira setahun.

Beliau membesar dalam suasana yang tertekan akibat tindakan rejim elit Shah Iran yang berpaksikan Islam fundamental.

Graduan Universiti Sains dan Teknologi Iran dalam bidang kejuruteraan ini mula berjinak-jinak dengan gerakan politik pada tahun 1970-an. Waktu itu, seluruh kampus di dunia Islam dicemari dengan kekacauan politik apabila berlaku pertembungan antara radikal agama dan ekstremis sekular berhaluan kiri. Iran tidak terkecuali dan Ahmadinejad menjadi aktif dalam pergerakan politik - agama radikal bawah tanah.

Apabila revolusi menentang rejim Shah berjaya pada tahun 1979, Ahmadinejad telah terkenal sebagai salah seorang tokoh dalam kumpulan 'garis keras' dan turut mengambil bahagian dalam usaha menegakkan dominasi Islam menentang golongan yang berhaluan kiri.

Malah beliau dikatakan terlibat dalam kejadian menawan kedutaan AS. Walaupun hanya sebagai penggalak, Ahmadinejad sebenarnya turut mencadangkan supaya Soviet juga ditawan sebagai tebusan.

Tindakannya itu mendedahkan sifat bencinya terhadap kuasa-kuasa besar dunia yang selama ini dilihat bermaharajalela.

Pada tahun 1986, beliau menyertai Pengawal Revolusi, pasukan militia yang ditubuhkan oleh Ayatollah Khomeini untuk menyeimbangkan kuasa tentera Iran.

Berpangkalan di Kermanshah, Ahmadinejad mengetuai pasukan yang pakar membunuh musuh-musuh revolusi.

Mereka yang mengenalinya menyifatkan beliau seorang yang komited, ganas dan sangat cekap dalam tindakan yang dibuat.

Sumber juga mengatakan, Ahmadinejad mungkin pernah mengikuti misi rahsia di luar negara seperti pembunuhan penentang Kurdish di Vienna.

Ahmadinejad secara rasminya menyertai politik selepas perang dengan Iraq berakhir.

Dua kali beliau dilantik sebagai Datuk Bandar sebelum menjadi Gabenor Ardabil pada tahun 1994. Kerjaya politiknya terhenti sementara apabila Mohammed Khatami memenangi pilihan raya Presiden.

Di bawah pemerintahan Khatami, ahli-ahli politik muda dari 'garis keras' terpaksa kembali ke dunia akademik.

Awal tahun 1990-an, ketika peperangan Iran-Iraq, lulusan doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang kejuruteraan dan perancangan pengangkutan ini telah meninggalkan kerjaya dalam bidang akademik untuk mengetuai satu operasi menentang musuh.

Walaupun negara lain cukup 'menjaga hati' negara-negara berkenaan tetapi bagi pemimpin yang muncul tiba-tiba ini, beliau memegang prinsip 'berani kerana benar'.

Kerana sikapnya itu, ketika baru lima bulan dilantik sebagai Presiden, dua kali Ahmadinejad membuat kenyataan berani.

Antara kenyataan nekadnya ialah meminta supaya Israel dihapuskan dari peta dunia.




Biarpun dikutuk hebat oleh Israel dan negara sekutunya, AS serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ahmadinejad tidak pernah kenal serik.

Beliau bertegas dan berpegang dengan pendiriannya, malahan beliau enggan akur kepada gesaan pelbagai pihak supaya meminta maaf di atas kenyataan 'celupar' itu.

Pemimpin itu turut mengundang kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan bahawa peristiwa Holocaust hanyalah mitos.




Menurut beliau, pembunuhan berjuta-juta penduduk Yahudi oleh tentera Nazi di Jerman bukanlah benar-benar berlaku.

Seperti kontroversi 'Israel patut lenyap dari muka bumi ini,' kenyataan itu juga menerima kritikan hebat khususnya dari Jerman dan Kesatuan Eropah (EU).





Iran dan Israel sememangnya mempunyai rekod buruk dalam hubungan dua hala kerana Teheran tidak pernah mengiktiraf negara yang dibangunkan hasil daripada pencerobohan ke atas tanah Arab tersebut.

AS pula mempunyai luka lama dengan Iran apabila kedutaannya di Teheran telah ditawan selama 444 hari sewaktu kebangkitan revolusi Iran pada tahun 1979.

Sejak kenyataan 'berani mati' Ahmadinejad menghina Israel pada Oktober lalu itu, Washington tidak habis-habis menuduh Teheran tidak berminat membangunkan tenaga elektrik sebaliknya mahu menjadi kuasa nuklear di rantau itu.

"Dua komen yang anti-Israel itu bukan dikeluarkan secara tiba-tiba. Ahmadinejad sememangnya merancang dan mahu kenyataan itu dibuat," kata seorang penganalisis politik Iran, Mahmoud Alinejad.

Satu lagi tindakannya yang menarik perhatian dunia ialah berikutan penemuan bukti yang mendakwa Ahmadinejad turut terlibat dalam perancangan cubaan membunuh penulis buku yang pernah menimbulkan kemarahan umat Islam di atas penghinaan yang dilakukan - Salman Rushdie.

Dalam masa sama, beliau berusaha 'menanggalkan kepercayaan' rakyat Iran terhadap produk-produk hasil Barat.

Sebagai pemimpin yang berhasrat untuk mengikis pengaruh Barat di Iran, Ahmadinejad dan para pengikut kanannya berusaha memastikan barisan kepimpinan Teheran dimonopoli golongan yang tidak akan bertolak ansur dengan dakyah Barat.

Sejak berkuasa, Ahmadinejad secara terus terang berkata bahawa beliau tidak akan memansuhkan projek nuklear di negara itu.

Katanya, Iran tidak akan mempedulikan ancaman perang atau apa-apa sekatan antarabangsa malah terus berazam untuk membangunkan program nuklearnya.

"Mereka (pihak Barat) harus faham sikap seperti itu hanya akan meningkatkan keinginan kami untuk membangunkan lebih banyak teknologi nuklear," katanya.

Apa pun, sejak memenangi pilihan raya, Ahmadinejad sudah dilihat sebagai Presiden yang mewakili golongan ultrakonservatif.

Pada tahun 2003, beliau diketengahkan sebagai orang yang berpotensi sebagai Datuk Bandar Teheran. Beliau menang mudah.

Kempennya yang menyerlahkan diri sebenar - miskin, jujur, rajin dan taat merupakan kunci utama kejayaannya itu.

Dan itu juga adalah rahsianya sebelum dipilih oleh rakyat sebagai Presiden menggantikan pemimpin sebelumnya, Khatami.

Namun di sebalik sikap anti-Baratnya itu, Ahmadinejad bukanlah seorang yang 'terkurung' dalam tempurungnya sendiri.

Ahmadinejad seorang yang moden, isterinya seorang pensyarah universiti dan sesuai dengan kelulusannya - kejuruteraan beliau sangat meminati teknologi moden.

Kepada sesetengah orang, bapa tiga anak ini mungkin boneka yang dimanipulasikan oleh kumpulan konservatif. Tetapi di pihak lain, beliau adalah seorang ahli agama yang taat kepada ajaran Islam Syiah. Yang pasti, Ahmadinejad adalah seorang nasionalisme tulen yang tidak mahu melihat negaranya tunduk kepada mana-mana negara lain.